KL beri tumpuan empat perkara untuk kurangkan tarif ke atas eksport negara

Ketidakseimbangan dagangan dan halangan bukan tarif antara perkara yang dibincangkan.

KUALA LUMPUR,3 MEI - Malaysia akan memberi tumpuan kepada empat isu utama yang dibangkitkan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan tarif 24% ke atas eksport negara.

Ini melibatkan ketidakseimbangan dagangan,menangani halangan bukan tarif,mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi dan perjajaran aliran pelaburan.

Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,isu berkenaan dibangkitkan oleh Washington dalam sesi libat urus baru-baru ini sebagai sebahagian daripada usaha rundingan bersama.

"Isu pertama melibatkan defisit dagangan AS dengan Malaysia. Berdasarkan data yang ada,imbangan dagangan dengan Malaysia menunjukkan defisit kepada pihak Amerika Syarikat,dan ini adalah sesuatu yang mereka pandang tidak begitu positif.

"Kedua,ia turut menyentuh tentang halangan bukan tarif. Dalam aspek ini,terdapat banyak isu yang boleh ditambah baik,dan inilah antara perkara yang mereka mahu kita beri perhatian." katanya kepada pemberita selepas Sidang Khas Parlimen berhubung isu tarif AS,hari ini.

Ini termasuk proses pensijilan halal yang mengambil masa lebih lama berbanding pensijilan lain,dan dianggap sebagai salah satu bentuk halangan bukan tarif.

Isu ketiga menyentuh aspek keselamatan teknologi,khususnya kebimbangan Amerika Syarikat terhadap kemungkinan teknologi mereka disalurkan kepada pihak ketiga.

“Ini berkait rapat dengan usaha AS untuk memastikan teknologi mereka tidak jatuh ke tangan pihak yang tidak diluluskan. Sebab itulah mereka mengenakan sekatan eksport terhadap cip semikonduktor,sebagai contoh,” katanya.

“Jadi,cip yang dieksport ke Malaysia atau Indonesia perlu dipastikan tidak diseludup atau dihantar semula ke negara ketiga yang dilarang oleh AS. Ini merupakan sebahagian daripada dasar perlindungan teknologi yang mereka tekankan.”

Sementara itu,isu keempat yang turut menjadi tumpuan ialah mengenai penjajaran aliran pelaburan Malaysia dengan kepentingan industri AS.

Tengku Zafrul berkata,ketika ini syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah melabur hampir AS$45 bilion dalam pasaran bon dan ekuiti di Amerika Syarikat,menunjukkan komitmen pelaburan Malaysia di negara tersebut.