
Foto REUTERS
WASHINGTON,23 Jun – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyelar kegagalan Perdana Menteri Britain,Keir Starmer dalam menguruskan isu tenaga,imigresen dan hubungan diplomatik dengan Washington menjadi punca kepada peletakan jawatannya.
RINGKASAN BERITA AI
−
Trump,yang sebelum ini telah meramalkan kejatuhan Starmer menerusi hantaran di Truth Social,menyifatkan pemimpin Britain itu sebagai “seorang rakan” namun kesal kerana beliau kurang memberikan sokongan terhadap AS dalam isu membabitkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta konflik ketenteraan di Iran.
Trump mengakhiri kenyataannya dengan mendoakan yang terbaik buat Starmer namun menegaskan bahawa pengganti beliau kelak perlu menangani dua isu kritikal yang membelenggu Britain ketika ini iaitu kemelut tenaga,kawalan imigresen,selain peningkatan kadar jenayah domestik.
Sementara itu di London,Starmer secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua Parti Buruh selepas berdepan tekanan daripada ahli partinya,susulan prestasi buruk dalam pilihan raya tempatan dan wilayah yang menghakis pengaruh politik beliau.
Meskipun melepaskan jawatan parti,Starmer akan tetap menjalankan tugas sebagai perdana menteri sepanjang tempoh fasa peralihan kuasa bagi memastikan kestabilan pentadbiran negara.
Penganalisis politik Britain menjangkakan ahli politik veteran Parti Buruh yang juga bekas Datuk Bandar Greater Manchester,Andy Burnham,bakal dipilih sebagai pengganti selepas beliau kembali ke Parlimen.
Jika disahkan,Burnham akan menjadi Perdana Menteri Britain yang ketujuh dalam tempoh 10 tahun akibat pergolakan politik yang berterusan di negara itu. – REUTERS