Institusi tempatan sokong Bursa Malaysia, belian bersih RM1.32 bilion

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR,21 Oktober - Institusi tempatan melanjutkan aktiviti belian bersih untuk tempoh dua minggu berturut-turut dengan pembelian berjumlah RM1.32 bilion,menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Manakala,pelabur asing melanjutkan jualan bersih kepada dua minggu berturut-turut,melibatkan aliran dana sebanyak RM962.8 juta.

Dalam laporan aliran dana MBSB IB bagi minggu berakhir 17 Oktober 2025,peruncit tempatan pula meneruskan aktiviti jualan bersih selama enam minggu berturut-turut,dengan aliran keluar bersih RM357.4 juta.

''Pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan minggu lalu,dengan mencatatkan aktiviti jualan bersih tertinggi pada Isnin sebanyak RM393.5 juta.

“Manakala,aliran keluar terendah berlaku pada Khamis,yang menyaksikan pengeluaran sederhana sebanyak RM11.0 juta,” menurut laporan itu.

Bank pelaburan tersebut turut menyatakan bahawa hanya tiga sektor mencatatkan aliran masuk bersih asing minggu lalu,iaitu produk dan perkhidmatan pengguna (RM518.9 juta),teknologi (RM87.3 juta) dan pembinaan (RM6.5 juta).

Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar bersih asing pula ialah perkhidmatan kewangan (RM835.5 juta),penjagaan kesihatan (RM270.3 juta) dan utiliti (RM106.7 juta).

Sementara itu,rantau Asia turut menyaksikan pelabur asing beralih kepada penjual bersih dan menamatkan aktiviti belian bersih dua minggu berturut-turut di dengan mencatatkan aliran keluar bersih asing sebanyak AS$1.71 bilion.

Hanya pasaran India,Korea dan Indonesia mencatatkan aliran masuk asing bersih,manakala selebihnya merekodkan aktiviti jualan bersih diterajui oleh Taiwan yang mencatatkan aliran keluar serantau terbesar.