JBPM Kelantan tingkat kesiapsiagaan hadapi MTL mulai November

Foto fail/BERNAMA

KOTA BHARU,23 Oktober -Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November ini.

Pengarah JBPM Kelantan,Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Ts Farhan Sufyan Borhan berkata,tahap kebolehgunaan jentera dan peralatan jabatan kini mencapai 85 peratus,manakala aset marin berada pada tahap 84 peratus.

Katanya,beberapa kerja penyelenggaraan sedang dijalankan bagi memastikan semua aset mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus keupayaan operasi menjelang musim tengkujuh.

Walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan tiada banjir besar berlaku di Kelantan tahun ini,namun kesiapsiagaan tetap dipertingkat bagi menghadapi sebarang kemungkinan,termasuk insiden ribut petir dan pokok tumbang yang meningkat antara 20 hingga 30 kes sebulan.

"Kita tak ada jentera baru khusus untuk banir kita akan gunakan peralatan marin yang sama jugak guna bot sama di Kelantan ada 64 bot,56 dalam keadaan baik dan kita cuba kalau dapat seratus peratus kegunaan logistic boleh diguna pakai,biasanya banjir ini tiga peralatan penting,tiga jentera pertama lori,12 lori akan digerakkan semua dalam keadaan baik,bot marin dan juga pacuan empat roda yang diguna untuk tarik dan menyelamatkan mangsa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan bagi bulan Oktober 2025 di Ibu Pejabat Bomba Tunjong.


MetMalaysia sebelum ini dilaporkan memaklumkan,MTL di Kelantan dijangka bermula sekitar 6 November dengan kemungkinan hujan lebat berterusan di beberapa daerah termasuk Pasir Mas,Rantau Panjang dan Tumpat,sebagaimana yang berlaku tahun lalu.

Sehubungan itu katanya,839 pegawai dan anggota akan digerakkan secara berperingkat bergantung kepada situasi banjir,dengan penugasan 24 hingga 36 jam di lokasi terjejas.

JBPM turut menerima bantuan daripada 16 pasukan bomba sukarela dan komuniti,selain bantuan aset udara seperti helikopter dan dron yang sentiasa bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.


Farhan Sufyan berkata,pihaknya tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand,khususnya di wilayah Narathiwat,sebagaimana pernah dilakukan semasa banjir besar 2014,bagi memperkukuh tindak balas bencana di sempadan.

Hadir sama pada majlis perhimpunan itu ialah Ketua Strategi dan Pengurusan Pejabat Pencegahan serta Mitigasi Bencana Wilayah Narathiwat Thailand,Leftenan Muhaday Nithatnawadaychakul.