
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA
KUALA LUMPUR,23 Oktober -Penyelesaian kepada isu buli dan gejala sosial di sekolah tidak boleh hanya bersandar kepada tindakan disiplin semata-mata.
Sebaliknya,ia perlu berasaskan kepada pengukuhan sistem nilai dan pembentukan akhlak sejak awal.
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan,masalah pendidikan dan perilaku pelajar tidak boleh dipisahkan daripada peranan ibu bapa,guru serta budaya masyarakat secara keseluruhannya.
Justeru pendekatan yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan melalui penambaikan peranan Majlis Pendidikan Negara (MPN) bagi menyelaras pandangan dan langkah-langkah pembaikan sistem sedia ada.
"Masalah pendidikan ini melibatkan anak-anak sekolah,guru,ibu bapa,persekitaran dan budaya dalam masyarakat. Dan setakat ini sepertimana dimulakan sejak dulu bahawa langkah-langkah yang diambil oleh kementerian memperbaiki apa yang dianggap kelemahan-kelemahan yang ada dan mengambilkira peranan ibu bapa,pandangan akademiknya,pandangan guru-guru. Kerajaan setuju menubuhkan Majlis Pendidikan Negara supaya diselaraskan semua pandangan itu dan diperkemaskan beberapa langkah yang perlu." katanya di Dewan Rakyat.
Tambah Perdana Menteri,dalam menangani isu keselamatan di sekolah termasuk kes buli dan penderaan,kerajaan mengambil pendekatan seimbang antara aspek penguatkuasaan dan pemulihan nilai moral.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendidikan agama dan Islam sendiri tidak akan memberi kesan jika tidak disertai dengan pemahaman nilai yang benar,sebaliknya akan menjadi amalan ritual semata-mata tanpa membentuk akhlak dan sikap yang betul.
"Saya masih lagi fikir ini soal akhlak,soal nilai,soal fahaman dan bagi kita tentunya didikan Islam. Tetapi didikan Islam pun,kalau kita tidak beri pencerahan dari sudut nilai,dia jadi 'rituals'. Jadi,orang-orang itu dia boleh hafal,tetapi dia tidak menterjemahkan dari segi sikap dia,sekolah yang menyebabkan masih lagi bertindak yang kurang waras." katanya.
Menurut Datuk Seri Anwar,usaha menangani isu buli turut melibatkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah terpilih dengan peruntukan RM5 juta,selain memperkukuh peranan kaunseling dan pembantu warden,termasuk penglibatan komuniti,ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk Ahli Parlimen,pendidik dan ibu bapa untuk bekerjasama dalam mencari kaedah terbaik memulihkan suasana pendidikan agar lebih sihat dan selamat.
"Saya harap rakan-rakan YB,kita juga masuk golongan ibu bapa... kita juga pernah sama ada jadi pendidik dan oleh yang demikian,kita harus cari kaedah yang lebih baik untuk menjernihkan suasana ini yang juga merunsingkan," katanya lagi.