Lubang benam Jalan Masjid India disebabkan paip reput, bukan batu kapur

Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR,23 Oktober- Punca utama kejadian lubang benam di Jalan Masjid India pada Ogos tahun lalu disebabkan oleh kegagalan struktur paip pembetungan yang reput akibat tindak balas kimia,bukan berpunca daripada kewujudan lapisan batu kapur seperti dibimbangi orang awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan),Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata,kawasan itu terletak di atas Formasi Kenny Hills yang didasari batuan syis (schist),manakala lapisan batu kapur hanya ditemui pada kedalaman yang sangat dalam iaitu sekitar 60 hingga 70 meter.

"Berdasarkan analisis pasukan khas yang merujuk kepada maklumat geologi dan laporan penyiasatan tanah,lokasi insiden lubang benam tersebut terletak di atas Formasi Kenny Hills yang didasari oleh batuan syis. Lapisan batu kapur atau limestone hanya ditemui pada kedalaman yang sangat dalam,iaitu sekitar 60 hingga 70 meter.

"Keadaan itu menyebabkan terbentuknya rongga di bawah struktur perjalanan kaki yang akhirnya mencetuskan insiden lubang benam tersebut," jelasnya menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Manis,Datuk Ir. Yusuf Abd. Wahab mengenai status terkini laporan insiden berkenaan.

Beliau menambah,laporan penuh hasil siasatan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 20 Ogos lalu dan edisi khas untuk bacaan umum akan dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu,Jawatankuasa Wilayah Persekutuan (JWP) berhasrat membentangkan laporan berkenaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPKK) Infrastruktur,Pengangkutan dan Komunikasi.

Langkah ini dijangka dapat membantu pihak berkuasa mengkaji corak kejadian lubang benam di kawasan lain seperti Sepang dan George Town serta merangka strategi mitigasi yang lebih komprehensif dan bersepadu di peringkat nasional.

Dalam pada itu,Zaliha memaklumkan bahawa satu kajian geoteknikel menyeluruh sedang dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengenal pasti profil dan tahap kestabilan tanah di kawasan pusat bandar.

Kajian itu melibatkan struktur dan lapisan tanah di jalan-jalan utama sekitar Segitiga Emas Kuala Lumpur,khususnya di kawasan Central Business District (CBD) dan zon sekitar penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Beliau berkata,langkah berkenaan adalah proaktif bagi memastikan keselamatan infrastruktur dan utiliti bawah tanah.

"Dapatan interim setakat ini mendapati tiada kawasan yang berisiko untuk kejadian lubang benam. Teknik ini penting untuk keselamatan,terutamanya daripada aspek insiden bencana infrastruktur seperti lubang benam.

"Pengalaman daripada kes terdahulu juga telah memberi respon kepada kerajaan untuk menubuhkan Emergency Response Team (ERT) yang lebih berwibawa,sekiranya berlaku insiden seumpama ini sekali lagi," tambahnya.