Kerajaan pertimbang penambahbaikan struktur keselamatan & latihan khas di sekolah

Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR,23 Oktober - Keperluan untuk menambah baik struktur keselamatan di sekolah akan diteliti dan dipertimbangkan.

Cadangan itu dipersetujui Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim demi memastikan kesejahteraan murid lebih terjamin serta mengelak kejadian tidak diingini termasuk kes penderaan dan jenayah melibatkan pelajar berulang.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Indera Mahkota,Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mencadangkan penstrukturan semula jawatankuasa keselamatan sekolah serta latihan khas kepada guru,warden dan pengawas,beliau menjelaskan,Kementerian Pendidikan akan meneliti perkara itu secara menyeluruh bagi memperkemas parameter dan terma rujukan yang lebih teratur.

"Umpamanya cadangan untuk keselamatan lebih 'structured',saya fikir Kementerian Pendidikan harus teliti,memang sekarang ada... tetapi untuk perkemaskan dengan parameter dan 'terms of reference' yang lebih teratur... saya setuju",kata Datuk Seri Anwar di Dewan Rakyat.

Beliau turut memaklumkan,kerajaan telah memutuskan pelaksanaan latihan khas melibatkan kaunselor,warden dan pengawas bagi memastikan mereka memahami tanggungjawab serta keperluan menjaga kebajikan pelajar dengan lebih profesional.

Dalam pada itu,Datuk Seri Anwar turut menyambut baik cadangan agar pekerja sokongan di sekolah termasuk pekerja kebersihan,pengawal keselamatan dan pekerja kantin turut diberi pendedahan asas mengenai tanggungjawab dan keselamatan murid.

"Tentang latihan khas,memang diputuskan termasuk kaunselor,warden,pengawas telah diputuskan untuk mengadakan latihan khas untuk mereka.

"Tentang pekerja,ini cadangan baharu,tukang cuci dan sebagainya,itu harus atleast kalau pun tidak ada sijil... tetapi sekurang-kurangnya ada pendedahan tanggungjawab mereka dan sebagainya kerana ada kes di mana warden atau penjaga juga terlibat dalam kes-kes jenayah terhadap pelajar termasuk jenayah seksual.

Mengulas mengenai cadangan menaikkan kadar pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan di sekolah,Datuk Seri Anwar menjelaskan,kadar sedia ada dianggap memadai,namun tidak menolak kemungkinan ia ditingkatkan bagi kes tertentu.

"Soal ganti rugi,setakat ini kita rasa memadai,tetapi kalau ada kes-kes tertentu,ada kes dimana anak OKU di Pulau Pinang,itu didera. Jadi mungkin ada kes-kes tertentu yang boleh ditingkatkan,jumlah nanti ataupun bayaran dipanggil saguhati dan sebagainya.

"Jadi,itu pampasan,inshaa-Allah,kita boleh pertimbangkan,tetapi setakat ini,kita rasa memadai,yang pentingnya ialah memberikan kemudahan kepada mereka balik dan jaminan kepada anak-anak dan keluarga selain daripada pampasan",ujar Datuk Seri Anwar.