ILO puji komitmen Malaysia perkukuh pembangunan kemahiran

Gilbert F. Houngbo

KUALA LUMPUR,23 Oktober- Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memuji komitmen Malaysia dalam memperkukuh pembangunan kemahiran tenaga kerja melalui kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta.

Ketua Pengarah ILO,Gilbert F. Houngbo berkata,langkah yang diambil Malaysia selaras dengan keperluan semasa untuk melahirkan tenaga kerja berdaya saing dalam menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi global.

Houngbo turut memuji kemajuan pesat yang dicapai Malaysia dalam usaha beralih ke arah ekonomi berpendapatan tinggi sambil menegaskan kepentingan pelaburan dalam pembangunan kemahiran selaras dengan perubahan teknologi semasa.

"Apabila Malaysia bergerak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,isu tenaga kerja dan pembangunan kemahiran menjadi semakin penting," katanya pada sesi bersama media padaMajlis Global Skills Forum (GSF) 2025 di sini pada Rabu.

Menurut beliau,tumpuan Malaysia terhadap peningkatan kemahiran,peningkatan semula kemahiran serta pembelajaran sepanjang hayat adalah sejajar dengan agenda global ILO bagi melindungi pekerja daripada risiko tercicir dalam era teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat.

"Bagi memastikan pekerja tidak ketinggalan,pelaburan besar dalam pembangunan kemahiran amat kritikal," tegasnya sambil menekankan sektor swasta sebagai pemain utama dalam ekosistem pembangunan kemahiran masa depan.

GSF 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur bertemakan "The Role of the Private Sector in Skills Development: Driving Innovation and Impact"menjadi platform utama pembuat dasar global membincangkan peranan sektor swasta dalam memperkasa pembangunan kemahiran tenaga kerja masa depan.