Pos Malaysia jangka kesan minimum daripada perubahan tarif AS

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia,Charles Brewer

KUALA LUMPUR,3 September - Pos Malaysia Berhad menjangkakan kesan minimum daripada perubahan tarif terbaharu di Amerika Syarikat (AS) berdasarkan volum penghantarannya ke negara tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya,Charles Brewer berkata,sebaliknya impak ketara lebih dirasai oleh syarikat logistik dengan volum penghantaran lebih tinggi ke AS.

"Dari perspektif runcit,jumlah penghantaran kami ke AS,sama ada penghantaran surat atau bungkusan tidaklah besar,tetapi masih dalam kadar yang munasabah.

"Dalam beberapa minggu kebelakangan ini,kami turut berdepan dengan luahan pelanggan yang agak tidak berpuas hati dengan perubahan tersebut dan seperti yang anda maklum,keadaan ini jelas berada di luar kawalan Pos Malaysia,katanya selepas majlis penyerahan van elektrik baharu Pos Malaysia oleh Weststar Maxus dengan kerjasama rakan strategik pajakan,Yinson GreenTech.

Mengulas penghentian sementara perkhidmatan pos antarabangsa ke AS pada 25 Ogos lalu,jelasnya ia berlaku selepas syarikat penerbangan kargo yang menjadi rakan logistiknya menghentikan operasi ekoran lambakan penghantaran.

"Situasi ini menuntut syarikat untuk mencari alternatif lain bagi memenuhi keperluan pelanggan,justeru kami menawarkan penyelesaian baharu menerusi perkhidmatan komersial menggunakan Redly Express,"tambahnya.