Tarif 25%: Malaysia perlu perluas pasaran eksport

Tariff AS meningkatkan risiko ekonomi jangka pendek. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR,8 Julai – Keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus terhadap barangan dari Malaysia mengejutkan pelbagai pihak,khususnya selepas rundingan diplomatik terdahulu antara wakil Malaysia dan peguam AS.

Penganalisis ekonomi,Dr Afzanizam Abdul Rashid berkata,langkah itu berpunca daripada pandangan AS terhadap ketidakseimbangan perdagangan global yang cuba ditangani melalui pelaksanaan tarif.

“Walaupun tarif ini dikenakan kepada produk dari Malaysia,akhirnya yang menanggung kos adalah rakyat dan perniagaan di AS sendiri. Ini boleh membawa kepada penurunan permintaan terhadap barangan Malaysia,” jelasnya.

Amerika Syarikat merupakan antara rakan dagang utama Malaysia dan sebarang kelembapan permintaan daripada negara itu boleh menjejaskan pertumbuhan sektor eksport negara.

Susulan itu,risiko ekonomi jangka pendek semakin meningkat dan memerlukan tindakan segera daripada kerajaan bagi mengurangkan kesannya.

Menurut Dr Afzanizam,Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mempertimbangkan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat pada 9 Julai ini,sebagai langkah merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui kos pembiayaan yang lebih rendah.

Langkah tersebut dilihat mampu menggalakkan penggunaan dan pelaburan,dua komponen utama dalam permintaan domestik.

Dalam jangka sederhana dan panjang,beliau menjangkakan rundingan lanjut bersama AS akan diteruskan di samping pengukuhan hubungan perdagangan dengan negara ASEAN,Eropah dan lain-lain menerusi platform sedia ada.

“Ini penting bagi memastikan daya saing eksport Malaysia kekal mampan serta ekonomi negara terus berkembang dalam persekitaran global yang mencabar,” katanya.