LHDN kenal pasti 845 kes tindakan dalam Op Tanjong

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN Datuk Hisham Rusli menyampaikan ucapan sempena majlis hari ini.

GEORGE TOWN,3 Julai - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenal pasti 845 kes bagi tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan dalam Operasi Pematuhan Cukai siri ke-10 yang dikenali sebagai OP Tanjong di sekitar Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN,Datuk Hisham Rusli berkata tumpuan khas operasi membabitkan 238 pegawai itu diberikan kepada sektor ekonomi utama seperti pembuatan,elektronik dan elektrikal,digital dan teknologi,logistik,pembinaan,kontraktor serta kejuruteraan.

Beliau berkata kerjasama berpasukan yang kukuh adalah teras utama dalam menyampaikan manfaat optimum kepada semua pihak,justeru jaringan kolaborasi antara agensi akan terus diperkasa sebagai elemen penting dalam tadbir urus yang efektif dan mampan.

“Pelaksanaan OP Tanjong membuktikan kesediaan LHDN dalam menyesuaikan strategi pematuhan mengikut landskap ekonomi setempat,tanpa mengetepikan prinsip keadilan dan ketelusan.

“Kami percaya usaha bersepadu seperti ini akan terus menjadi asas kukuh kepada ekosistem percukaian yang lestari,telus serta menyumbang secara langsung kepada keupayaan fiskal negara untuk menyokong agenda pembangunan nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini. - BERNAMA