Kapal persiaran di Langkawi beroperasi dengan lesen tamat tempoh ditahan APMM

Kapal persiaran membawa 36 penumpang bersama 7 kru ditahan APMM.

LANGKAWI,2 Julai - Sebuah kapal persiaran di Langkawi yang beroperasi dengan lesen tamat tempoh ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis.

Kapal persiaran itu ditahan ketika melakukan aktiviti rekreasi air di kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika Barat Pulau Lintang,Langkawi pada pukul 6.00 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis,Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata,kapal yang membawa 36 penumpang bersama 7 kru disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Kapal berkenaan ditahan dalam satu rondaan rutin OP AMAN,OP TIRIS 3.0,OP MARDOF UTARA 1/2025.

Laksamana Pertama Maritim Romli berkata kapal persiaran serta kru ditahan dan dibawa ke jeti Dayang Bay untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang bagi mengekang aktiviti haram diperairan negara.