Pelajar boleh membuat semakan tawaran melalui aplikasi myPTPTN.
KUALA LUMPUR,2 Julai - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukan Wang Pendahuluan Pinjaman berjumlah RM47.8 juta kepada 31,850 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat diploma di Universiti Awam dan Politeknik bagi kemasukan sesi Julai 2025.
PTPTN memaklumkan setiap pelajar yang layak,ditawarkan Wang Pendahuluan berjumlah RM1,500 untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal memasuki Universiti Awam dan Politeknik,sekali gus menjaga kebajikan para pelajar.
Wang Pendahuluan Pinjaman diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima Wang Pendahuluan Pinjaman,semasa membuat permohonan kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan Universiti Awam.
“Selain itu,ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Seramai 990,638 pelajar telah menerima manfaat dengan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion,sejak ia diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Mei lepas.
Pelajar boleh membuat semakan tawaran melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan Wang Pendahuluan tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara,bermula hari ini hingga 1 Sept dengan membawa surat tawaran dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).
Pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN,mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.
##