Mesyuarat ke-41 Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dijadual berlangsung dari 12 hingga 16 Mei ini di Sekretariat ASEAN,Jakarta / Foto Hiasan / Bernama
KUALA LUMPUR,12 MEI - Mesyuarat ke-41 Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dijadual berlangsung dari 12 hingga 16 Mei ini di Sekretariat ASEAN,Jakarta.
Wisma Putra memaklumkan,mesyuarat anjuran AICHR itu akan dipengerusikan oleh Wakil Malaysia ke AICHR,Datuk Edmund Bon Tai Soon,yang juga Pengerusi AICHR bagi tahun 2025.
"Kepimpinan Malaysia dalam mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memajukan promosi dan perlindungan hak asasi manusia melalui dialog serantau serta penerokaan bidang kerjasama baharu," menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Mesyuarat itu juga bakal menghimpunkan sepuluh wakil tetap dan alternatif AICHR,wakil Timor-Leste sebagai pemerhati,serta pegawai dari Sekretariat ASEAN.
Antara agenda utama mesyuarat berkenaan adalah bagi membincangkan perkembangan terkini hak asasi manusia di rantau serta draf Deklarasi ASEAN mengenai Hak kepada Alam Sekitar yang Selamat,Bersih,Sihat dan Mampan.
AICHR turut akan meneliti Tahun AICHR (FYWP) bagi 2026 hingga 2030 serta Program Keutamaan AICHR bagitahun hadapan.
"Sebagai persediaan ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-15 bersama AICHR Julai ini di Kuala Lumpur,laporan tahunan AICHR bagi 2025 juga akan dimuktamadkan," tambah Wisma Putra.
Selain itu,beberapa sesi libat urus turut dijadualkan bersama pihak seperti Jawatankuasa Perwakilan Tetap ke ASEAN (CPR),Kumpulan Kerja bagi Mekanisme Hak Asasi Manusia ASEAN (WGAHRM),Suruhanjaya ASEAN Mengenai Penggalakan dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-Kanak (ACWC),Rangkaian Universiti ASEAN – Pendidikan Hak Asasi Manusia (AUN-HRE) serta rakan dialog termasuk Australia,Jepun dan Kesatuan Eropah.