Penutupan ruang udara Pakistan: Malaysia Airlines ubah laluan, beberapa penerbangan dibatalkan

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR,7 Mei - Malaysia Airlines telah menyesuaikan laluan dua penerbangannya,MH2 dan MH22 susulan penutupan ruang udara Pakistan semalam.

Kedua-dua pesawat membuat persinggahan sementara di Doha,Qatar untuk pengisian bahan api sebelum meneruskan perjalanan masing-masing ke London Heathrow,United Kingdom dan Paris Charles de Gaulle,Perancis.

Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) dalam satu kenyataan memaklumkan penyesuaian laluan itu dibuat selepas laluan asal ke destinasi berkenaan tidak dapat digunakan.

Dalam perkembangan berkaitan,semua penerbangan Malaysia Airlines ke dan dari Amritsar,India turut dihentikan sementara sehingga 9 Mei berikutan penutupan Lapangan Terbang Amritsar dari 7 hingga 9 Mei atas faktor keselamatan dan operasi.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal sebagai keutamaan tertinggi kami. Kami sedang memantau situasi ini dengan teliti dan akan terus mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai,” kata MAG.

Sementara itu,Batik Air turut mengumumkan pembatalan penerbangan ke dan dari Lahore (Pakistan) serta Amritsar (India) pada 7 dan 8 Mei susulan ketegangan serantau yang sedang berlaku.

Antara laluan yang terjejas termasuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lahore (5.35 petang) dan dari Lahore ke Kuala Lumpur (9.35 malam),serta penerbangan ke Amritsar (6.40 petang) dan penerbangan balik dari Amritsar ke Kuala Lumpur (11.05 malam) pada 7 Mei.

AirAsia pula memaklumkan pihaknya sedang meneliti perkembangan situasi dan akan mematuhi semua garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Buat masa ini,operasi kami berjalan seperti biasa dengan beberapa penyesuaian,termasuk pengubahan laluan penerbangan tertentu bagi mengelakkan ruang udara yang terjejas,” menurut kenyataan AirAsia.