Foto RTM
SEREMBAN,6 Mei - Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus komited mengangkat martabat seni dan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa menerusi penganjuran Showcase Seni Warisan Zon Selatan 2025,bagi memperkasa serta memelihara warisan budaya bangsa.
Program tersebut menjadi platform bagi memartabatkan serta memperkasa seni dan warisan budaya negeri agar terus dipelihara sepanjang zaman.
Menurut Pengarah Bahagian Program Radio RTM Saifuzzaman Yusop,program itu menggabungkan seni budaya dan tradisi tiga negeri iaitu Negeri Sembilan,Melaka dan Johor menerusi persembahan seni kebudayaan yang ditampilkan menerusi nyanyian,tarian dan muzik tradisional.
"Showcase Seni Warisan Zon Selatan 2025 ini kita cipta secara penggabungan antara zon. Zon Selatan ini ialah zon yang keempat yang kita laksanakan di semenanjung. Objektifnya ialah untuk kita mengangkat martabat dan adat serta tradisi budaya kita supaya tidak ketinggalan zaman. Pada masa sama kita ingin meneruskan supaya generasi muda tidak lupa tentang asal usul mereka," katanya kepada pemberita pada Showcase Seni Warisan Zon Selatan 2025 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban,di sini.
Sementara itu,menurut Penerbit Seni Warisan Johorfm Wan Noor Wajiha Mustapa,kolaborasi antara Jabatan Penyiaran Johor (JOHORfm),Jabatan Penyiaran Melaka (MELAKAfm) dan Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan (NEGERIfm) menerusi Showcase Seni Warisan Zon Selatan 2025 mampu menyebarluaskan budaya serta tradisi menerusi program kebudayaan.
"Yang paling penting kita perlu pastikan seni warisan kita "tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas". Kita perlu pastikan generasi kita diterapkan dengan ilmu," kata Wan Noor Wajiha.
Showcase Seni Warisan Zon Selatan 2025 turut menampilkan persembahan artis tanah air seperti Aisyah Retno dan Haqim Rusli.