Pelanggan Maybank dinasihat untuk merancang transaksi lebih awal untuk mengelakkan sebarang gangguan.
KUALA LUMPUR,5 Mei - Maybank memaklumkan bahawa beberapa perkhidmatan terpilihnya akan menjalani aktiviti penyelenggaraan sistem pada hari Sabtu,10 Mei ini bermula 12 tengah malam hingga 8 pagi dan Sabtu,17 Mei bermula 12 tengah malam hingga 8 pagi.
Penyelenggaraan secara berkala ini adalah bagi memastikan pengguna boleh melakukan transaksi perbankan dengan lebih selamat dan lancar selain memastikan perkhidmatan dalam talian sentiasa berfungsi dengan baik.
Perkhidmatan ini tidak akan tersedia secara berperingkat untuk kedua-dua hari.
Antara perkhidmatan yang dijadual mengalami gangguan sementara waktu ialah mesin ATM dari jam 12 tengah malam hingga 8 pagi.
Perkhidmatan-perkhidmatan lain yang terjejas sementara termasuk DuitNow Transfer,DuitNow Request,DuitNow QR,JomPaY,Interbank GIRO,FPX,dan Mandat Debit melalui saluran Maybank2u web,aplikasi MAE,serta Maybank2u Biz (web dan aplikasi) turut akan mengalami gangguan dari pukul 3 pagi hingga 8 pagi pada tarikh sama.
Pelanggan Maybank dinasihat untuk merancang transaksi masing-masing lebih awal untuk mengelakkan sebarang gangguan.
Kumpulan Maybank memohon maaf atas sebarang kesulitan dan menghargai kesabaran pelanggan.
Pelanggan boleh menghubungi pihak bank melalui saluran rasmi mereka untuk sebarang pertanyaan.