MITI pertimbang insentif khas bantu perniagaan terjejas tarif AS

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,6 Mei - Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI) akan mempertimbangkan pengenalan pakej insentif khas bagi perniagaan yang terjejas akibat tarif Amerika Syarikat,selepas meneliti kesannya kepada fiskal negara.

Menterinya,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata,fokus kerajaan kini adalah rundingan timbal balas dengan Amerika yang bermula hari ini,bagi memastikan tiada tarif dikenakan,khususnya dalam sektor utama.

“Kita mungkin memberi tempoh sehingga Julai kerana pada masa ini kita memberikan fokus kepada perbincangan dengan Amerika. Kita akan ketahui impaknya menerusi hasil mesyuarat ini.

“Buat masa ini,kita tahu impak utamanya ialah tarif asas 10 peratus ke atas Malaysia. Namun,dalam masa yang sama,terdapat juga sektor yang tidak dikenakan tarif. Sebaik sahaja rundingan selesai dan kita mengetahui pihak,syarikat,serta rantaian bekalan yang terkesan,barulah kita dapat membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bersempena sidang media pengumuman kad laporan prestasi MITI suku pertama 2025 di sini hari ini.

Semalam,Tengku Datuk Seri Zafrul pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berhubung isu tarif Amerika berkata,rundingan timbal balas itu akan diadakan secara maya.

Diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Mastura Ahmad Mustafa sebagai ketua perunding Malaysia bersama-sama Penolong Wakil Perdagangan Amerika untuk Asia Tenggara dan Pasifik,Sarah Ellerman.

Perbincangan awal adalah untuk memastikan apakah skop dan isu-isu teknikal yang perlu dibincangkan menerusi rundingan itu bagi mendapatkan persetujuan atau keputusan dalam situasi menang-menang.