Hab Fintech PayNet pacu pertumbuhan syarikat pemula tempatan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet,Farhan Ahmad / Foto RTM

KUALA LUMPUR,5 Mei – Hab Fintech PayNet dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan syarikat pemula tempatan dengan menyediakan ekosistem yang menyeluruh serta sokongan konkrit untuk kemajuan mampan industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet,Farhan Ahmad,berkata inisiatif itu bertujuan mempercepat pembangunan sektor fintech di Malaysia melalui akses terus kepada modal,jaringan industri,insentif kewangan serta peluang pembelajaran dan kerjasama strategik.

“Terdapat kira-kira 300 syarikat pemula dalam kategori Intex di Malaysia,dan untuk menjadikan sesuatu program benar-benar kompetitif,kita perlu menarik jumlah yang signifikan daripada mereka.

"Namun,dalam program kami sekarang,kurang daripada 50 yang benar-benar menyertai program kami kerana seseorang itu mesti benar-benar mahu terlibat. Seperti yang saya sebutkan dalam ucapan saya,perkara paling penting ialah semangat,keyakinan,dan keberanian katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hab Fintech PayNet di sini hari ini.

Antara manfaat utama program ini termasuk lebih 450 jam sesi bimbingan bersama pakar industri,peluang kerjasama dengan pemain korporat utama,serta akses kepada pelabur fintech yang berpotensi membimbing dan melabur dalam syarikat pemula.

Menerusi program berkenaan,peserta juga bakal menikmati pelbagai faedah eksklusif termasuk kredit nilai tambah melebihi RM1 juta,khidmat nasihat profesional bernilai RM600,000,kredit awan sehingga RM3 juta,serta ruang kerja bersama yang ditaja sepenuhnya.

Inisiatif tersebut turut dirangka untuk membantu para pengasas syarikat mengurus aliran tunai,mengatasi cabaran operasi,memperkemas model perniagaan dan merancang strategi penembusan pasaran serta hala tuju syarikat secara lebih tersusun.

“Matlamat kami di PayNet adalah untuk memastikan manfaat ini dapat dirasai di seluruh negara,termasuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan seperti kumpulan B40.

"Kami percaya PayNet berada dalam kedudukan unik untuk membantu mencapai keterangkuman ini,” jelas Farhan.