UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar

Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yassim (kiri) menyampaikan buku Kepimpinan Berkesan Dalam Pemprograman Aktiviti Luar (KBDPAL) kepada Dr Simon Priest dalam majlis Malaysian Outdoor Recreation and Education Conference (MOREC 2025) bertempat di Adventure Park,Kampus Sultan Azlan Shah UPSI,baru-baru ini / Foto UPSI

TANJUNG MALIM,6 Mei - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah melancarkan buku Kepimpinan Berkesan Dalam Pemprograman Aktiviti Luar (KBDPAL),terjemahan pertama karya Profesor Dr Simon Priest ke dalam Bahasa Melayu,sempena Persidangan Malaysian Outdoor Recreation and Education Conference (MOREC 2025) baru-baru ini.

Pelancaran yang berlangsung pada 28 April itu dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Pengembaraan dan Rekreasi Luar (AURORA) di bawah Pusat Kokurikulum UPSI,dengan tema ‘Eco-Minds: Shaping Tomorrow’s Leaders Through Outdoor Learning’.

Naib Canselor UPSI,Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata inisiatif penterjemahan itu membuktikan komitmen UPSI dalam memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan serta memperluaskan akses kepada bahan akademik berkualiti tinggi.

“Pelancaran buku ini mencerminkan usaha berterusan UPSI memperkasakan bidang pendidikan luar sebagai cabang pendidikan penting dalam membina karakter dan kepimpinan generasi muda. Ia juga langkah strategik memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di rantau ini,” katanya.

Beliau berharap buku tersebut menjadi rujukan bukan sahaja kepada pelajar UPSI,tetapi juga kepada pendidik,jurulatih rekreasi dan agensi berkaitan di seluruh negara serta Asia Tenggara.

Sementara itu,Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI,Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yassim berkata AURORA memperoleh kebenaran rasmi daripada Dr Simon Priest untuk menterjemahkan karya berkenaan bagi kegunaan di Asia Tenggara.

“KBDPAL ialah buku pertama dalam bidang pendidikan luar yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Buku setebal 134 halaman ini mengandungi teknik dan kaedah kepimpinan berkesan dalam pemprograman aktiviti luar,bertujuan memperkasakan rekreasi luar sebagai alat pendidikan,pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti,” jelasnya.

Menurut beliau,buku tersebut menekankan pelaksanaan aktiviti luar seperti sukan,perdebatan,khidmat komuniti dan kem kepimpinan,selari aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam membangunkan individu seimbang dari aspek jasmani,emosi,rohani dan intelek.

Selain itu,karya berkenaan turut mengupas cabaran pelaksanaan seperti kekangan sumber,komitmen tenaga pengajar dan keperluan latihan intensif,di samping mencadangkan strategi penambahbaikan termasuk perancangan program lebih berfokus,penyediaan dana khas dan kerjasama antara sekolah,ibu bapa serta komuniti.

“Pelancaran KBDPAL mengukuhkan komitmen UPSI dalam memperkasa bidang pendidikan luar,menjadikan UPSI peneraju utama dalam memperluaskan ilmu kepimpinan pengembaraan kepada masyarakat Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.