Sektor swasta pacu transformasi pertanian melalui teknologi, pelaburan

Timbalan Menteri Industri Makanan,Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak,Datuk Martin Ben / Foto RTM

KUALA LUMPUR,5 Disember – Sektor swasta perlu memainkan peranan penting dalam memacu agenda transformasi pertanian dengan melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mempertingkatkan ekosistem dan pengeluaran makanan.

Timbalan Menteri Industri Makanan,Datuk Martin Ben berkata teknologi yang dihasilkan perlu bersesuaian dan mampu dimiliki oleh komuniti peladang.

“Kita perlu memanfaatkan kuasa teknologi,analitik data,dan penyelidikan saintifik untuk membuka jalan baharu dalam mengoptimumkan pengeluaran makanan,meminimumkan pembaziran,serta meningkatkan kemampanan.

“Kerjasama antara kerajaan,NGO,ahli akademik,dan pihak berkepentingan amat digalakkan untuk membangunkan penyelesaian inovatif ke arah kemampanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Pertanian Lestari & Keselamatan Makanan ASEAN 2024 anjuran KSI Strategic,di sini.

Tambah Martin,Kerajaan Sarawak kini mempromosikan penggunaan sisa pertanian sebagai hasil sampingan seperti makanan haiwan dan baja bagi meminimumkan pembaziran.

Langkah itu,jelasnya,sejajar dengan pelaksanaan prinsip Alam Sekitar,Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) secara menyeluruh.