Kawalan sempadan negara terus diperkasa, disokong AI

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR,5 Disember-Kerajaan terus melakukan usaha berterusan dalam memperkasa dan memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negaratermasuk kegiatan pemerdagangan manusia,penyeludupan dadah,senjata api dan barang bersubsidi melalui sempadan.

Ketika ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Sistem Kawalan Sempadan Negara (NBCS).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan,kajian itu melibatkan peruntukan RM500,000 yang diluluskan bagi tahun 2023 bawah Rolling Plan Ketiga,Rancangan Malaysia Ke-12.

"Berdasarkan dapatan kajian tersebut,perancangan pembangunan sistem NBCS ini akan merangkumi sistem pengawasan terkini berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"...bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan,proses kawalan pintar,penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar dan pengawasan sepanjang masa dalam melindungi sempadan darat dan maritim Malaysia demi keamanan,kestabilan dan kedaulatan negara," katanya.

Beliau menjawab soalan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai langkah yang sedang dan akan diambil oleh kerajaan dalam menangani isu keselamatan sempadan Malaysia-Thailand khususnyamembanteras kegiatan pemerdagangan manusia,senjata api dan barang bersubsidi melalui sempadan.

Kajian itu dilaksanakan melalui pelantikan pasukan penyelidik dari universiti awam bermula pada 7 September tahun lalu dengan tempoh kajian selama 14 bulan.

Sementara itu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka akan mengambil alih keseluruhan operasi di 114 pintu masuk negara pada Januari 2026.

Shamsul Anuar Nasarah berkata pengoperasian itu akan bermula pada 1 Februari tahun depanmelibatkan 22 pintu masuk dengan Kompleks Imigresen,Kastam,Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang,Kelantan sebagai lokasi operasi rintis.

"Ia merupakanagensi kawalan barisan hadapan pintu-pintu sempadan negara dan pelabuhan,yang bertanggungjawab untuk penugasan kawalan dan pemeriksaan secara bersepadu di pintu masuk darat,laut dan udara.

"Rang Undang-Undang (RUU) telah pun kita luluskan di parlimen ini pada 1 Ogos lalu dan diwartakan pada 17 Oktober," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Takiyuddin Hassan berkenaan jumlah petugas AKPS dan kekuatan aset serta lokasi penugasan agensi berkenaan,selain statistik pemerdagangan orang melibatkan rakyat Malaysia.