Kerjasama Malaysia-BRICS: Peluang pasaran baharu di pentas global

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR,2 Disember - Jalinan kerjasama bersama-sama negara-negara anggota BRICS memberikan pasaran ekonomi baharu luas yang boleh diterokai Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,Malaysia juga berkongsi hala tuju ekonomi yang sama sebagai sebuah negara sedang membangun dengan kuasa ekonomi besar dunia.

Katanya,dengan keadaan dunia tidak menentu,negara perlu menggunakan setiap ruang dan peluang yang ada di platform antarabangsa dalam berkongsi hala tuju serta ekonomi yang sama dengan rakan dagangan.

"Penglibatan Malaysia dengan BRICS adalah berasaskan pengiktirafan bahawa,sebagai sebuah negara berpendapatan pertengahan atas yang sedang meningkat naik.

"Kita berkongsi kebimbangan ekonomi yang sama dengan kuasa ekonomi lain yang sedang meningkat naik. Negara seperti Brazil,Rusia,India,China,Afrika Selatan,dan ahli-ahli BRICS yang lain mewakili peluang pasaran yang sangat besar," kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Forum Tindakan Bersama (CAF) 2024,di Ibu Negara.

Tambahnya,ketika mengharungi cabaran dunia tidak menentu ASEAN menjadi contoh tindakan negara-negara selatan global boleh mengembangkan jaringan dalam pelbagai hala.