BERNAS sokong usaha kerajaan, kurangkan harga Beras Putih Import

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,30 November- Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mendokong usaha kerajaan untuk melihat harga Beras Putih Import (BPI) berada pada paras yang lebih rendah.

BERNAS akan melaksanakan penurunan harga Beras Putih Import di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik,berkuat kuasa 1 Disember 2024.

Bernas dalam kenyataan berkata ia selaras dengan pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,Datuk Seri Mohamad Sabu bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

"Pelarasannya sejajar dengan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat dan didorong oleh faktor penurunan harga semasa pasaran beras dunia.

Ia juga ekoran penarikan balik larangan eksport serta pemansuhan duti eksport bagi beras putih bukan basmati oleh kerajaan India,baru-baru ini," kata kenyataan itu.

BERNAS pada Mac 2024 telah menurunkan harga BPI daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik di Semenanjung Malaysia,walaupun trend harga BPI masih di paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun lepas.