Orang ramai dijemput hadir Karnival Komunikasi di IWK Eco Park@Pantai Dalam

Foto RTM

KUALA LUMPUR,29 November -Kementerian Komunikasi mengajak orang ramai untuk menyertai Karnival Komunikasi 2024 yang berlangsung bermula hari ini hingga esok di IWK Eco Park @ Pantai Dalam.

Karnival anjuran kementerian dengan rakan strategik TM Technology Service Sdn Bhd (TM) itu,menyediakan pelbagai program dan acara menarik kepada pengunjung bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam .

Karnival berkenaan adalah antara usaha Kementerian Komunikasi bagi menarik minat komuniti berkaitan inisiatif anjuran kementerian dan agensi,meningkatkan literasi komunikasi dalam kalangan masyarakat dan pendidikan komuniti seperti isu scam dan penyalahgunaan talian kecemasan 999.

"Karnival ini dianjurkan untuk mendidik rakyat masyarakat setempat tentang betapa pentingnya jalur lebar,sebab zaman sekarang internet itu sangat penting,"kata wakil penganjur Shafieza Md Fadzil.

Selain reruai informasi dan makanan,pengunjung turut disajikan dengan Jualan Rahmah,aktiviti e-Games,aktiviti kanak-kanak dan cabutan bertuah.

Kaunter pencetakan setem menggunakan gambar sendiri oleh Pos Malaysia,pakej daripada syarikat telco,penukaran naskah al-Quran dan kaunter pembayaran saman turut dibuka.

Turut diadakan Konsert Riuh X Karnival Komunikasi 2024 pada penutup program esok yang menampilkan artis terkenal tempatan seperti Kaka Azraff,Bunkface,Iman Troye dan Muah.

Pada malam ini aktiviti Tayangan Skrin Besar Malbatt: Misi BAKARA turut berlangsung.

Perasmian Penutup Karnival Komunikasi 2024 akan disempurnakan Menterinya,Fahmi Fadzil. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web karnival.komunikasi.gov.my serta media sosial rasmi Karnival Komunikasi.