Banjir: Bomba Selangor perhebat pemantauan di kawasan berisiko

Foto RTM

KLANG,29 November -Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Selangor memperhebat pemantauan di kawasan yang berisiko susulan banjir berlaku yang bermula semalam.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapar,Penolong Penguasa Bomba Yazli Yahya,pihaknya memberi perhatian serius kepada kawasan yang terjejas antaranya Pekan Meru dan Bukit Kapar.

"Sekarang ini situasi air semakin naik. Jadi penduduk di sekitar disarankan lebih baik berjaga-jaga jika nak keluar.

"Selagi boleh tanpa ada bantuan secara kendiri lebih mudah kalau sampai bantuan yang banyak bermakna sudah terlalu tinggi air",katanya demikian semasa melakukan tinjauan di Persiaran Hamzah Alang,Meru,Klang,hari ini.

Katanya,BBP Kapar kini beroperasi dengan kekuatan keseluruhan sembilan anggota yang ditugaskan bagi pemantauan serta pemindahan mangsa banjir di sekitar Kapar

Yazli menambah,selain itu,bagi memastikan proses pemantauan berjalan lancar,sebuah jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda disediakan bagi membantu penduduk kawasan terjejas.

Setakat pukul 3.00 petang tadi,portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir di Selangor kini mencecah seramai 312 orang daripada 77 keluarga dengan dua PPS dibuka.