Kerajaan cadang pelanjutan Skim mySalam dua tahun lagi

Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR,26 November- Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengkaji pelanjutan Skim mySalam untuk tempoh tambahan dua tahun bertujuan memberi ruang merangka skim insurans jangka panjang yang lebih sesuai untuk golongan B40.

Menteri Kewangan II,Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata inisiatif itu penting kerana mySalam terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima termasuk mereka yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

"Buat masa ini,mySalam akan berkuat kuasa sehingga hujung tahun depan. Jika skim ini dapat dilanjutkan dua tahun lagi,bermakna tempohnya dipanjangkan kepada empat tahun daripada asalnya. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu-isu ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sabak Bernam,Kalam Salam di Dewan Rakyat hari ini.

Amir turut menegaskan bahawa kerajaan menitikberatkan kebajikan semua petugas mySalam,yang ketika ini dilantik secara kontrak dan dibayar elaun oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB),penyedia perkhidmatan skim tersebut.

"Beberapa usaha telah dilaksanakan termasuk menambah baik kadar elaun petugas serta menggalakkan mereka mengikuti program latihan kemahiran. Pengalaman daripada skim ini diharap dapat meningkatkan peluang mereka memperoleh pekerjaan tetap," katanya.

Kerajaan juga menyokong pelaksanaan program berteraskan kemahiran sebagai usaha memperkasa petugas mySalam agar lebih bersedia dalam pasaran pekerjaan.