Mayat mangsa bot karam Sungai Rajang ditemukan

Operasi SAR ditamatkan susulan penemuan mayat mangsa /FOTO BBP KAPIT

KAPIT,21 November - Mayat mangsa bot karam di Sungai Rajang,di sini ditemukan petang tadi,selepas dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Timoty Barat berkata mangsa,Bubut Benang ditemukan tidak jauh dari lokasi kejadian dilaporkan iaitu di Nanga Makoh,Sungai Rajang.

"Mayat mangsa dibawa ke wap kubu oleh pasukan SAR dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Dengan penemuannya,maka berakhirlah operasi (SAR) dan ditamatkan pukul 4.50 petang," katanya di lokasi mayat ditemukan.

Terdahulu,operasi SAR hari kedua dilaksana melibatkan radius pencarian 30 kilometer dari lokasi kejadian.

Kejadian bot karam berlaku pada petang Selasa apabila bot yang dinaiki oleh mangsa bersama dua rakannya terlanggar batu jeram di Nanga Makoh.

Dua rakannya berjaya diselamatkan oleh orang awam berhampiran,namun mangsa tidak sempat diselamatkan.