Penjawat awam Kelantan terima bantuan khas RM500

Bantuan khas memanfaatkan penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak /FOTO RTM

KOTA BHARU,21 November - Penjawat awam di Kelantan bakal menikmati bantuan khas kewangan RM500.

Bantuan akan disalur pada Februari depan sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan perkhidmatan awam.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Kelantan,Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Menurutnya,bantuan khas tersebut melibatkan semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Pemberiannya melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM4.97 juta.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Kelantan 2025 pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Negeri di Kota Darulnaim,di sini.

Bertemakan “Keberkatan,Kesejahteraan dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri”,bantuan itu juga akan dipanjangkan kepada lantikan politik.