Jurang digital, etika AI antara cabaran utama Malaysia-Anwar

Foto RTM

LIMA,15 November-Jurang digital dan etika penggunaan Kecerdasan buatan (AI) merupakan dua cabaran utama yang dihadapi Malaysia dalam mengadaptasikan sepenuhnya teknologi tersebut bagi manfaat rakyat.

Jelas Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim,meskipun Malaysia berjaya menarik pelaburan besar dalam teknologi AI namun kerajaan sedar akan cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan pelaksanaannya (transformasi digital) lancar.

‘’Jika anda ingin melihat ekonomi baru muncul berjaya,kekal kompetitif dan mampan,lonjakan kuantum perlu dilaksanakan dan AI adalah jawapannya,bagi pelaksanaan transformasi digital.Namun ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan’’,katanya demikian sewaktu menjadi salah seorang panel Sidang Kemuncak CEO APEC di sini.

Malaysia telah berjaya menarik pelaburan besar dalam bidang teknologi daripada syarikat global seperti Amazon Web Services,Google,Microsoft,dan Oracle,satu usaha yang menurutnya memerlukan perubahan besar dalam dasar awam dan pengurusan sumber.

Jelasnya dibawah ekonomi Madani,yang menekankan prinsip kepercayaan,kemanusian dan keadilan,kerajaan perlu memastikan kemudahan digital ini dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat di bandar mahupun luar bandar.

Justeru,pelaburan tambahan dalam infrastrukur digital perlu bagi memastikan akses digital dapat dinikmati di seluruh negara sekaligus merapatkan jurang digital.

Seterusnya cabaran etika penggunaan teknologi AI dan perlindungan data bagi menjaga sensitiviti pelbagai agama di Malaysia.

‘’Negara kita yang majoriti penduduknya beragama Islam,dan kita juga mempunyai penganut agama Hindu,Kristian dan Buddha,kita perlu melaksanakan etika pengunaan AI agar tidak memudaratkan keharmonian negara’’,tambahnya.

Sementara itu,dalam konteks ASEAN,beliau berkata,Malaysia akan mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan,justeru membuka peluang untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam sektor digital.

Anwar berkata bahawa ASEAN memerlukan infrastruktur yang mampan bagi menyokong ekonomi digital dan AI,memandangkan sesetengah negara di rantau ini kekurangan sumber.

Beliau menyatakan dua fokus utama dalam kerjasama ASEAN yang dipimpin Malaysia,iaitu memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara besar seperti China dan mewujudkan agenda digital yang seragam untuk seluruh ASEAN.

Menurutnya,dengan kekuatan masing-masing,negara ASEAN dapat saling melengkapi dalam mengembangkan ekonomi digital yang lebih berkesan dan produktif.

Bertemakan Peluang dan Cabaran dalam revolusi AI sidang kemuncak ini merupakan sebahagian program Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

Panel lain termasuk Naib Presiden Data dan AI Microsoft Zia Mansoor,ketua pegawai eksekutif Voobil,Yangbin Wang,Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Polisi Awam Google,Karan Bathia serta ahli ABAC Kanda Jan De Silva.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan,Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.