Sultan Pahang cadang wujudkan Mahkamah Utama Syariah

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Mesyuarat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang ke-193

KUANTAN,12 November- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan agar diwujudkan satu peringkat tambahan dinamakan Mahkamah Utama Syariah bagi memperkasa Mahkamah Syariah di Pahang.

Titah Baginda,mahkamah itu akan berfungsi mendengar rayuan dan semakan kes dari Mahkamah Rayuan Syariah.

"Sudah tiba masanya mahkamah syariah di negeri ini diperluaskan kepada empat peringkat sebagai langkah penting demi memastikan keadilan ditegakkan dengan teliti dan berhemah.

"Sehubungan itu,baginda berharap Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang,Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri,dan Jabatan Kehakiman Syariah Pahang dapat bekerjasama era," titah Sultan Abdullah.

Baginda bertitah demikian sempena Mesyuarat Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang ke-193 di sini.

Tambah baginda lagi,persiapan dari sudut penggubalan dan pindaan undang-undang amat penting,agar cadangan itu dapat dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

Selain itu titahnya,undang-undang syariah yang diguna pakai di Pahang perlu disemak dan ditambah baik secara berkala,serta dilaksanakan dengan konsisten.

Setiap pembaharuan perlu selari dengan perkembangan semasa dan berdaya menangani isu-isu terkini yang timbul dalam masyarakat.