Jual makanan guna 'tagline' lucah cemar nilai adab - GPMS Kedah

KENYATAAN MEDIA GPMS KEDAH

ALOR SETAR,11 November- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah mengecam kaedah pemasaran tidak sihat yang dilakukan oleh seorang peniaga makanan berasaskan donut dengan menggunakan perkataan tidak senonoh.

Pengerusi GPMS Kedah,Izharul Khairi Taharuddin berkata tindakan itu dilakukanpengusaha terbabit pada sebuah festival makanan di sini baru-baru ini dipercayai untuk menarik perhatian orang ramai,sebelum ia tular di media sosial.

"Tular di laman sosial baru-baru ini mengenai sebuah perniagaan yang menyertai Fantastic Food Fest by Kak Nab di Stadium Darul Aman yang menggunakan tangline 'berayaq' untuk menjual produk donut.

"Penggunaan kata yang dianggap tidak senonoh dan menjijikkan itu telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat umum,terutama mereka yang prihatin terhadap perkembangan moral anak muda," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menegaskan kaedah pemasaran berkenaan adalah tidak bertanggungjawab dan hanya merendahkan nilai moral.

"GMPS Kedah mengecam kaedah pemasaran yang tidak sihat ini walaupun terdapat pandangan bahawa bad marketing is still marketing," katanya.

Katanya,terdapat banyak cara lain untuk mempromosikan perniagaan secara profesional,sopan dan beretika.

"Sebagai salah satu pertubuhan belia tertua di Malaysia,saya bimbang dengan penggunaan 'tagline' tidak senonoh yang semakin menular dalam kalangan belia. Fenomena ini bukan sahaja mencemar nilai adab dan budaya bangsa tetapi juga menyumbang kepada penurunan nilai moral secara keseluruhan.

"Fenomena ini perlu dibendung sebelum menjadi budaya yang lebih luas dan membahayakan nilai-nilai adab dalam kalangan generasi muda,di saat negara giat membina generasi masa depan yang berakhlak dan beradab,kemunculan pempengaruh menggunakan kandungan seperti itu secara halus mempengaruhi minda anak muda. "Ini adalah satu ancaman terhadap usaha membina negara beradab dan berbudaya," katanya.

Justeru,GPMS Kedah menyarankan golongan berkenaan agar tidak membuat kandungan berbentuk jijik,lucah atau menjengkelkan kerana pengaruh mereka mampu membentuk tingkah laku dan pemikiran generasi muda.

"GPMS Kedah juga menyeru pihak penganjur program seperti Fantastic Food Fest by Kak Nab agar lebih peka dan teliti dalam memilih pempengaruh yang akan terlibat. Etika perniagaan yang baik bukan sahaja akan meningkatkan imej peniaga tetapi juga menjaga kesucian nilai dan adab masyarakat.

"Kami percaya bahawa perniagaan boleh berjaya tanpaperlu merendahkan nilai etika dan moral," katanya lagi.