Malaysia perlu mendepani teknologi baharu, tingkat daya saing masa hadapan

Foto FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR,8 November- Malaysia perlu tekad mendepani teknologi baharu bagi menjamin daya saing dalam tenaga kerja masa hadapan.

Langkah itu seiring dengan perkembangan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI),pembelajaran mesin,dan automasi yang kini giat membentuk semula landskap tenaga kerja global.

Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Fadillah Yusofmenegaskan ke arah itu negara perlu bukan sahaja menyesuaikan diri tetapi juga melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memimpin dalam bidang tersebut.

“Dalam era baharu ini,pembelajaran sepanjang hayat bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan.

"Ketika kita bersiap sedia menghadapi masa hadapan,kita mesti membentuk minda tenaga kerja yang menghayati prinsip belajar,melupakan,dan belajar semula.

"Inilah kunci untuk berjaya dalam persekitaran yang sentiasa berubah,di mana peningkatan kemahiran perlu kekal sebagai keutamaan dalam usaha kita,”katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2024 di sini.