Anggaran peruntukan penubuhan Majlis Media Malaysia diperinci masa terdekat - Fahmi

Menteri Komunikasi,Fahmi Fadzil / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,7 November- Kementerian Komunikasi akan memperincikan anggaran peruntukan bagi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) menerusi satu memorandum Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dana permulaan akan diguna pakai untuk pengoperasian awal MMC sebelum ia boleh beroperasi dengan dana sendiri.

“Bagi tujuan ini jawatankuasa Pro-tem telah menyediakan pelan kewangan jangka masa panjang dengan menyasarkan sumber kewangan daripada sumber-sumber lain,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Komunikasi.

Penubuhan MMC adalah bagi membangun dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara serta memastikan pelaporan berita dilakukan oleh media secara bertanggungjawab.

Sebelum ini Fahmi berkata Rang Undang-Undang MMC dijangka dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media dan menjamin hak kebebasan bersuara rakyat berdasarkan Fasal 1(a) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan proses semak dan imbang lancar serta berkesan.

Bagaimanapun,katanya kebebasan bersuara bukan bersifat mutlak serta perlu dilaksanakan dengan bertanggungjawab dan beretika,mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama yang mencorakkan masyarakat Malaysia.

“Keterbukaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin Kerajaan Perpaduan dan memberi lampu hijau kepada ahli Parlimen,ahli politik malah mahasiswa universiti mengkritik kerajaan dilihat menyuburkan lagi konsep kebebasan bersuara.

“Bagaimanapun kritikan yang diberikan harus bersifat membina,disertakan dengan data dan fakta bagi memenuhi semangat mencari serta menegakkan kebenaran dan tidak bersifat menghina,menghasut,provokasi,mencemarkan nama baik,mencerca agama dan kepercayaan serta menyebarkan fitnah,” katanya.

Menjawab celahan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berhubung tindakan sesetengah syarikat media yang tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan gaji pekerja mereka,Fahmi berkata perkara itu berada dalam senarai keutamaannya untuk diteliti.-BERNAMA