Langkah naikkan gaji, upah tingkatkan pendapatan isi rumah

Langkah meningkatkan gaji dan upah antara inisiatif penting memastikan pendapatan isi rumah menjalani kehidupan yang lebih wajar / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,29 Oktober – Langkah meningkatkan gaji dan upah antara inisiatif penting untuk memastikan pendapatan isi rumah di negara ini menjalani kehidupan yang lebih wajar.

Penganalisis Ekonomi,Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata ia boleh dicapai melalui pelaksanaan Dasar Gaji Minimum dan Gaji Progresif yang berkesan.

Jelasnya,lebih separuh isi rumah di Malaysia menghadapi kesukaran untuk berbelanja dengan wajar.

Namun,kerajaan kini dilihat serius dalam menangani isu tersebut selain komited untuk mengekalkan prestasi ekonomi negara yang kukuh selaras dengan peningkatan kesejahteraan rakyat.

“Sebab itu beberapa langkah cuba diambil untuk mengatasi isu mengenai pendapatan isi rumah yang rendah. Contohnya menaikkan gaji pekerja kerana pendapatan isi rumah kita lebih dari separuh atau hampir dua pertiga bersumberkan gaji pekerja,dan gaji pekerja ini jadi masalah besar kerana ia tidak naik dengan pantas walaupun produktiviti meningkat,” katanya dalam program Bicara Naratif pada Isnin.

Tambah Dr. Zakariah,matlamat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi tidak bermakna jika rakyat tidak menikmati sepenuhnya manfaat daripada pertumbuhan ekonomi dan produktiviti negara.