KPM perluas rakan sinergi sebagai usaha perkasa TVET

Fadhlina mencuba produk yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar SMK Saujana Indah/Foto BERNAMA

PULAU PINANG,28 Oktober - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperluaskan rakan sinergi bersama pihak industri seluruh negara dalam usaha memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menterinya Fadhlina Sidek berkata,kerjasama ini penting bagi membolehkan guru-guru TVET menjalani latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan pemahiran semula (reskilling).

"Keperluan industri berlaku disebabkan perkembangan pesat teknologi serta kepakaran tertentu,jadi barangkali ada yang sesuai atau sebaliknya di peringkat KPM.

"Itu yang harus kita ambil perhatian dan kita perluaskan rakan sinergi untuk keperluan guru-guru menguasai ilmu di peringkat industri kemahiran supaya mereka dapat menyampaikan pengajaran dengan lebih baik kepada murid," katanya selepas sesi Forum Jaringan Industri ke Arah Kemampanan TVET KPM di Batu Kawan.

Terdahulu,beliau yang mengendalikan forum berkenaan selama satu jam membincangkan potensi pelajar TVET di bawah KPM melalui jaringan dan kerjasama dengan pihak industri.

Forum yang dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak itujulung kali diadakan di Pulau Pinang dan akan diadakan di setiap negeri.