Keluarga dibenarkan melawat penghuni penjara bersempena Deepavali

Foto BERNAMA

SELANGOR,28 Oktober- Keluarga penghuni penjara dibenarkan membuat lawatan bersempena sambutan perayaan Deepavali tahun ini pada hari ketiga dan keempat perayaan.

Ia bagi semua penjara,Pusat Pemulihan Akhlak,Pusat Pemulihan Khas,Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Jabatan Penjara Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan keutamaan lawatan diberikan kepada penghuni beragama Hindu.

Kenyataan itu turut menyebut,selain kaedah bersemuka,perjumpaan secara dalam talian juga dibenarkan untuk tempoh 3 hari bermula pada 4 hingga 6 November ini.

"Bagi keluarga yang memilih kaedah bersemuka,waktu lawatan bermula dari pukul 8.15 pagi hingga pukul 4.15 petang dengan membawa bersama Kad Lawatan dan Kad Pengenalan.

"Pelawat adalah tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika masuk dan keluar dari penjara," menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara turut memaklumkan bahawa pelawat tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni,memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan.

Sekiranya ingin berbuat demikian atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya,pelawat diminta untuk mendapatkan resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan.