Dokumentari Khas Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 disiarkan Ahad ini

Foto facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR,25 Oktober- Dokumentari Khas Takhta Raja Payung Negara: Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan disiarkan menerusi platform rasmi Youtube Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 27 Oktober 2024 (Ahad),pukul 8.00 malam.

Dokumentari ini memberikan tumpuan kepada detik-detik bersejarah upacara pertabalan,aspek budaya,tradisi serta detik-detik persiapan di sebalik peristiwa penting cukup bersejarah itu.

"Istiadat ini juga menonjolkan warisan institusi Diraja Malaysia,dengan setiap elemen majlis pertabalan dirancang dengan teliti,melambangkan kedaulatan dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara Malaysia",menurut hantaran di facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menerusi dokumentari ini,rakyat dapat melihat lebih dekat proses,persiapan dan keunikan istiadat berkenaan sekali gus memberi penghormatan kepada adat Istiadat Diraja yang diamalkan sejak turun-temurun.

Rakaman disebalik tabir penghasilan dokumentari Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 dihasilkan oleh tenaga produksi Johor Royal Press Office dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat Istana Negara.