Kenaikan gaji minimum dorong pekerja tingkat kemahiran

Pengasas Financial Faiz,Faiz Azmi

KUALA LUMPUR,21 Oktober - Kadar gaji minimum baharu mulai Februari 2025 mampu mewujudkan situasi menang-menang bagi golongan majikan dan pekerja.

Pengasas Financial Faiz,Faiz Azmi berpandangan,langkah itu akan mendorong peningkatan kemahiran pekerja selari dengan gaji dan upah yang lebih tinggi.

"Pada masa sama,pekerja juga harus memastikan mereka layak menikmati kenaikan itu dengan meningkatkan kecekapan dan menyumbang kepada produktiviti organisasi," katanya kepada pemberita RTM.

"Dua-dua pihak perlu sedia untuk 'upskill' diri. Contohnya syarikat kena beli mesin yang lebih baik dan pekerja pun perlu 'upskill' diri untuk menggunakan alatan tersebut. Kita tidak boleh lagi menganggap diri sebagai buruh kasar semata-mata dan diberikan gaji yang paling rendah," katanya.

Jelas beliau lagi,pengumuman terbaharu itu selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025,Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan.

Ia akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.