Ekosistem keusahawanan mapan pacu ekonomi belia

Presiden Persatuan Alumni FELO Perdana Malaysia Syed Mohamed Arif Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR,17 Oktober - Golongan belia mahu ekosistem keusahawanan yang mapan diwujudkan.

Mereka berharap ia dapat direalisasikan menerusi Belanjawan 2025.

Menurut Presiden Persatuan Alumni FELO Perdana Malaysia Syed Mohamed Arif Syed Abdul Rahman,ekosistem keusahawanan yang mapan penting buat golongan tersebut,dalam usaha mempertingkat ekonomi mereka.

Penglibatan belia secara menyeluruh dilihat di dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi hijau,ekonomi digital dan ekonomi baharu.

"Itu adalah antara harapan yang dimahukan golongan belia. Menerusi perbincangan bersama,beberapa cadangan dan resolusi akan kami bawa kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

"Antaranya berkenaan cadangan Dana Inovasi Belia Negara dalam memastikan golongan ini mendapat bimbingan untuk memulakan perniagaan atau perusahaan. Sekali gus membentuk ekosistem mapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media di ibu negara.

Beliau turut mengutarakan keperluan lebih banyak peruntukan serta latihan dan bimbingan,bagi membentuk golongan belia yang mampu meningkatkan kemahiran dalam bidang keusahawanan,sekali gus menjana ekonomi peribadi dan negara.

Terdahulu dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1,beliau memaklumkan,Forum Ekonomi Belia (YEF) 2024 bakal diadakan pada 26 Oktober iniakan membincangkan resolusi golongan belia secara mendalam kepada negara.