"Percepat projek tebatan banjir demi keselamatan rakyat Pahang,"- Al-Sultan Abdullah

Al-Sultan Abdullah ketika melawat penduduk terjejas di PPS SK Desa Bakti. Foto FB Kesultanan Pahang

MENTAKAB,15 Oktober- "Segerakan projek tebatan banjir di Pahang demi keselamatan dan keselesaan rakyat," demikian titah Sultan Pahang,Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jelas Baginda,perubahan cuaca tidak menentu dalam negara ketika ini mengakibatkan kejadian bencana alam seperti banjir secara tiba-tiba.

"Pembinaan tebatan banjir ini khususnya di Temerloh (Sungai Semantan) dan di Bentong,Lipis,Kuantan harap dapat dipercepatkan.

"Beta dimaklumkan sudah ada projek di beberapa daerah termasuk di Sungai Semantan selain berharap sungai-sungai di daerah ini juga diperdalamkan," titah Al-Sultan Abdullah ketika melawat serta menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan di Mentakab,Pahang.

Sebelum itu,Baginda turut berangkat ke PPS Sekolah Kebangsaan Desa Bakti di Temerloh.

Sementara itu,Sultan Pahang mengakui bencana banjir tahun ini berlaku dengan cepat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Justeru,Al-Sultan Abdullah berharap pegawai kerajaan dan sukarelawan dapat memberikan bantuan sebaik mungkin selain tidak pilih kasih dalam soal penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas.