Anwar: Rasulullah wajar dijadikan sebagai pendidik paling unggul

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR,16 September - Umat Islam wajar menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai pendidik (murabbi) yang paling unggul dan agung,sebagai model teladan (Uswatun Hasanah) dalam kehidupan,kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Beliau berkata,Nabi Muhammad SAW adalah murabbi yang wajib diberi sorotan dengan penuh perhatian,bukan sahaja keperibadiannya namun mesti mencakup sisi kepemimpinan negara,masyarakat dan keluarga khususnya dalam konteks model negara bangsa Madinah.

"Sewaktu dunia dibadai kemarau mencari contoh dan suri teladan,kita wajar terus menjadikan murabbi terunggul dan teragung umat,iaitu Rasulullah SAW sebagai Uswatun Hasanah," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dijadual menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah juga dijadual berangkat ke sambutan berkenaan.