Himpunan RXZ Members 6.0 terbaik, tiada kes jenayah

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin

KUALA TERENGGANU,14 September- Penganjuran Himpunan RXZ Members 6.0 yang berakhir hari ini disifatkan paling terbaik sepanjang penganjurannya.

Tiada sebarang kes jenayah atau kecurian motosikal direkodkan kali ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata kejayaan penganjuran hasil perbincangan dan libat urus bersama pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan,Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pihak Lebuh Raya Pantai Timur Dua.

Namun,pihaknya mengesan beberapa kesalahan undang-undang oleh peserta Program RX-Z Members 6.0 di Litar Permotoran Terengganu,Gong Badak,selain beberapa kes penipuan berkaitan rumah penginapan yang diterima pihaknya.

"Mungkin tahun ini kita mendapat kerjasama yang baik. Dari segi disiplin,walaupun kita memberi peringatan kepada semua penunggang atau pun peserta yang hadir di sini mematuhi peraturan jalan raya. Namun pemerhatian saya,ada yang tidak mematuhi. Contohnya,ada sebilangannya masih tidak ada cermin sisi kiri kanan dan menggunakan ekzos yang bising",katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program yang disempurnakan Menteri Besar,Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

RXZ Member 6.0 merekodkan lebih 80,000 peserta dari seluruh negara.

Dalam pada itu,sebanyak 65 saman telah dikeluarkan Polis Kontinjen Terengganu dalam rutin operasi dan pemantauan yang dijalankan sempena Himpunan RXZ Member 6.0 di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu hari ini.

Pemeriksaan diketuai seorang pegawai serta 17 Anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Terengganu bermula 5.00 petang sehingga 7.00 malam di Pesisir Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata 15 motorsikal turut disita kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Antara kesalahan dikesan termasuk ubah suai ekzos,tiada nombor pendaftaran,ubah suai aksesori ekstrem serta tiada cermin sisi kiri kanan.

Kesemua motorsikal di sita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.