Niaga hadapan emas didagangkan kukuh minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR,14 September- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) dijangka didagangkan kukuh pada minggu depan,menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada 17 hingga 18 September ini.

Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata emas melonjak pada hari Jumaat,selepas didorong oleh harapan untuk penurunan kadar yang lebih besar daripada jangkaan,dengan pasaran menetapkan harga dalam kitaran pelonggaran Fed yang agresif.

“Memandangkan kita menghampiri keputusan Fed,pengukuhan adalah dijangka.

“Persoalan sebenar bukanlah sama ada pemotongan akan berlaku tetapi adakah ia akan mencecah 50 mata asas (bps). Bagaimanapun,walaupun pengurangan dibuat hanya 25 mata asas,meleset daripada jangkaan yang lebih berhati-hati,emas sewajarnya kekal disokong pada penurunan,” katanya kepada Bernama.

Di samping itu,beliau berkata ini kerana pasaran akan menunggu kemungkinan pemotongan 50 mata asas menjelang November akan datang.

“Ringkasnya,arah aliran kenaikan harga emas kelihatan kukuh,dengan sebarang penurunan semula mungkin dilihat sebagai peluang belian.

“Bagi minggu depan,emas akan berada pada jajaran yang lebih meluas,khususnya jika Fed memberikan potongan sebanyak 50 mata asas. Dalam kes ini,emas boleh didagangkan setinggi AS$2,600,dengan jangkaan ianya akan berlegar antara AS$2,550 hingga AS$2,” tambahnya lagi.

Dari Jumaat ke Jumaat,bulan semerta September 2024 meningkat kepada AS$2,575.00 setiap auns troy berbanding AS$2,539.00 setiap auns troy sebelum ini.

Sementara itu,Oktober 2024,November 2024,Disember 2024,Februari 2025 dan April 2025 semuanya ditutup lebih tinggi pada AS$2,587.30 daripada AS$2,539.00 setiap auns troy.

Jumlah dagangan menokok kepada 85 lot berbanding 56 lot yang dicatatkan semasa minggu lepas,manakala kepentingan terbuka melebar kepada 74 kontrak daripada 49 kontrak.

Harga emas fizikal berada pada AS$2,545.95 setiap auns troy,berdasarkan penetapan petang London Bullion Market Association pada 12 September- BERNAMA