JPJ Kedah sita lori lebih had muatan hampir 118 peratus

Foto: FB JPJ Negeri Kedah

ALOR SETAR,13 September- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menahan sebuah lori kerana disyaki melanggar had muatan yang dibenarkan.

Lori yang membawa muatan batu itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasa JPJ Kedah di sini,pada Khamis.


Pengarah JPJ Kedah,Stien Van Lutam berkata,hasil timbangan yang dilakukan mendapati,lori tersebut membawa muatan seberat 52,400 kilogram (kg),berbanding had yang dibenarkan iaitu 24,000 kg.


"Lebihan berat sebanyak 28,400 kg atau 118.33 peratus. Selain kesalahan muatan berlebihan,lori tersebut juga diberikan notis berkaitan kesalahan teknikal," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata,pemilik lori dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) kerana membawa muatan melebihi had yang ditetapkan.

Stien Van Lutam berkata,tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemandu atau pemilik kenderaan yang melanggar peraturan untuk memastikan keselamatan dan integriti sistem pengangkutan awam.