Pasaran getah ditutup tinggi dipacu aliran meningkat

Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Selasa mendapat rangsangan daripada aliran meningkat di pasaran niaga hadapan getah serantau / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,10 September - Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Selasa mendapat rangsangan daripada aliran meningkat di pasaran niaga hadapan getah serantau,kata seorang peniaga.

Beliau berkata harga komoditi itu juga disokong oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang terhad akibat hujan lebat di negara pengeluar utama.

“Namun begitu,kenaikan selanjutnya dihadkan oleh penanda aras penurunan harga minyak mentah dan data ekonomi China yang bercampur-campur kerana peniaga sentiasa memantau rapat ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara AS dengan China,” katanya kepada Bernama.

Pada 5.06 petang,harga minyak mentah Brent turun 0.67 peratus kepada AS$71.13 setong.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik 6.5 sen kepada 818.50 sen sekilogram,manakala lateks pukal meningkat 3.0 sen kepada 670.50 sen sekilogram.

Pada 5 petang,harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 811.50 sen sekilogram,manakala lateks pukal berada pada 672 sen sekilogram.-BERNAMA