Kemahiran TVET diperluas ke politeknik, Kolej Komuniti

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

IPOH,4 September - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluaskan pengetahuan dan kemahiran bersama antara pihak industri dan akademia ke peringkat politeknik dan Kolej Komuniti.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerjasama strategik itu penting bagi memenuhi keperluan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang semakin menjadi keutamaan masa kini.

"Dari segi industri dan pendidikan,kerjasama antara kedua-dua pihak amat diperlukan. Di universiti,kami telah melaksanakan dan merangka semula segala-galanya untuk memastikan bentuk kerjasama yang lebih berkesan.

"Dulu,kita gunakan istilah 'sinergi',tetapi sekarang kita panggilnya 'Nexus' sebagai pendekatan baharu dalam usaha ini." katanya semasa merasmikan Program Industri Nexus POLYCC (INDex POLYCC) 2024 di Politeknik Ungku Omar,di sini hari ini.

Terdahulu,pada majlis tersebut,seramai 45 pemain industri menerima Watikah Pelantikan CEO@POLYCC,manakala 15 Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara JPPKK dan pihak industri.

Dalam majlis itu juga,Yayasan Telekom Malaysia menyumbang RM3.5 juta melalui pelancaran TM TVET Madani @POLYCC,sebagai usaha memperkasakan institusi TVET di Malaysia.