JKR beri bantuan teknikal cari mangsa tanah jerlus

Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Alexander Nanta Linggi / Foto RTM

KUALA LUMPUR,29 Ogos - Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan bantuan teknikal bagi membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencari mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bantuan tersebut diberikan memandangkan JKR mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

"Ini adalah perkara serius yang memerlukan kepakaran mendalam. JKR terlibat dalam aspek teknikal seperti penyiasatan dan perkara berkaitan yang perlu dilakukan secara berterusan mengikut SOP pembangunan.

"Kami juga sedang mempertimbangkan penggunaan sains,teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan keupayaan kami dalam menangani isu ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian MBAM One Build 2024,di ibu negara.

Tambah Nanta,langkah kerajaan memberhentikan sementara projek pembinaan di Kuala Lumpur dilihat wajar demi memastikan keselamatan orang ramai.

Namun,beliau menegaskan industri pembinaan tidak perlu risau kerana langkah itu hanya bersifat sementara untuk menjalankan kerja-kerja penyiasatan.

Sebelum ini,Datuk Bandar Kuala Lumpur,Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif berkata DBKL akan mendapatkan kerjasama daripada JKR dalam usaha mencari seorang warga India yang terjatuh dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India,Jumaat lalu.