Raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Putrajaya berjalan lancar

Fahmi Fadzil ditemui media ketika ketika raptai penuh Hari Kebangsaan Ke-67 di Putrajaya / FOTO RTM

PUTRAJAYA,29 Ogos- Raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Putrajaya yang berlangsung hari ini,berjalan lancar.

Menteri Komunikasi,Fahmi Fadzil berkata persiapan rapi telah dilakukan dengan bahang kemeriahan sambutan juga kian terasa.

"Kita jangkakan segala persiapan ini akan membuahkan hasil yang cukup positif pada hari Sabtu dan saya doakan semoga semua persiapan dan juga perjalanan acara nanti berjalan dengan baik dan lancar.

"Setakat ini tidak ada apa-apa isu,mungkin ada sedikit koordinasi yang kita boleh tambah baik dan saya telah maklumkan kepada pasukan untuk melancarkan lagi,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika raptai penuh Hari Kebangsaan Ke-67 di Putrajaya.

Persembahan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka" itu dijangka berlangsung selama dua jam,antara lain menampilkan 25 pancaragam,479 aset ketenteraan dan pertunjukan udara. Ia dijayakan kira-kira 17,000 peserta daripada 59 kontinjen.