Gambar Jalur Gemilang dipasang terbalik adalah gambar lama - Polis

Foto Hiasan

BATU KAWAN,28 Ogos- Gambar tular yang memaparkan bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Bukit Tambun di sini adalah gambar lama yang berlaku pada 2020.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS),Supt Chong Boo Khim meminta semua pihak berhenti memanipulasikan gambar itu supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan isu perkauman.

"Polis terkesan hantaran di laman Facebook oleh satu akaun yang memaparkan bendera Malaysia dipasang dengan cara salah dan hasil siasatan mendapati kes itu berlaku di sebuah SJKC pada 2020 yang kemudian ia diulang siar individu tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber sahih serta tidak menyebarkan maklumat tidak tepat.- BERNAMA